Salam semua...
Artikel utk kita share bersama...
Apa makna anak soleh?
Anak
yang soleh bukan sahaja anak yang bersopan-santun dan taat kepada
ibu-bapa sebagaimana yang disangka oleh kebanyakan kita, tetapi yang
lebih utama dari itu ialah anak yang menjaga agamanya. Anak yang soleh
ialah anak yang ta’at kepada Allah, yang tahu kewajipannya sebagai hamba
Allah dan tahu tanggungjawabnya kepada agamanya. Apabila seorang anak
dididik dengan taat kepada Allah dan patuh kepada suruhan agama,
Insya’Allah anak itu secara otomatik akan taat kepada ibu-bapanya dan
akan menjaga akhlaknya di mana-mana sahaja ia berada.
Bagaimana mendidik anak menjadi soleh?
Tidak
ada cara mendidik anak yang paling baik dan paling berkesan melainkan
dengan cara didikan Islam. Langkah pertama ke arah didikan anak yang
sempurna ialah keazaman ibu-bapa itu sendiri untuk kembali menghayati
Islam dan menghidupkan Biah Islamiyyah (yakni suasana keislaman) di
dalam keluarga dan rumah. Hanya anak yang hidup di dalam suasana
keislaman yang dapat menghayati Islam dan seterusnya berjaya dibentuk
menjadi anak yang soleh.
“Wahai
orang-orang beriman! Sahut dan sambutlah seruan Allah dan RasulNya
apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang akan menjadikan kamu
hidup sempurna”. (al-Anfal: 24)
Seterusnya di bawah ini kita bentangkan perkara-perkara yang mesti kita lakukan untuk melahirkan anak-anak yang soleh;
1. Didiklah anak-anak kita mengenali Allah
Kita selalu mendengar ungkapan dari para ulama’ yang menyebutkan;
“Asas agama ialah mengenal Allah”.
Perkara
pertama yang wajib kita ajarkan kepada anak-anak kita ialah kalimah
Syahadah. Mengajar kalimah Syahadah bukan hanya mengajar menutur atau
mengucapkannya sahaja sebagaimana yang dilakukan oleh kebanyakan orang
hari ini, tetapi juga mengajar apa pengertian kalimah tersebut?, apa
yang tuntut olehnya? dan apa perkara-perkara yang bertentangan dengan
kalimah tersebut yang mesti dijauhi dari melakukannya?.
Kita
perlu memberitahu anak-anak kita –dari semasa ke semasa- bahawa dengan
mengucapkan kalimah tersebut mereka telah mengisytiharkan diri mereka
beriman kepada Allah. Oleh demikian, mereka wajib mentaati Allah pada
setiap ketika dan dalam setiap gerak-geri serta tingkah-laku mereka.
Pada masa yang sama, mereka wajib menolak segala yang bertentangan
dengan kehendak Allah sama ada yang berupa agama (yang lain dari Islam),
fahaman, ideologi, budaya, gaya hidup, tingkah-laku, peraturan,
undang-undang dan sebagainya. Inilah tuntutan kalimah Syahadah yang
dapat kita fahami dari firman Allah:
“Dan
sesiapa mengingkari taghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya
ia berpegang dengan simpulan yang teguh, yang tidak akan putus
selama-lamanya. Dan Allah maha mendengar lagi maha mengetahui”. (al-Baqarah: 256)
Menurut
Imam Sa’id bin Jubair dan Imam ad-Dhahhak; yang dimaksudkan dengan
‘simpulan yang teguh’ dalam ayat di atas ialah kalimah 'Lailahaillallah' Adapun thagut, maknanya ialah ‘segala yang menyesatkan manusia’ sama ada Iblis, Syaitan dan sebagainya.
2. Pastikan anak-anak kita sentiasa mendirikan solat dan menjaga ibadah-ibadah wajib yang lain
Rasulullah
s.a.w. sendiri telah berpesan kepada kita supaya mengambil berat
perihal solat anak-anak kita, di mana baginda bersabda;
“Suruhlah
anak kamu mengerjakan solat apabila ia telah berumur tujuh tahun dan
pukullah mereka jika enggan mengerjakan solat sedangkan mereka telah
berumur sepuluh tahun”. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan al-Hakim dari
Abdullah bin Amru r.a.)
Solat
adalah tiang agama. Menunaikan solat beerti menegakkan agama dan
meninggalkannya beerti mengabaikan agama. Dalam pendidikan, solat
mempunyai rahsia didikan yang amat hebat kepada anak-anak kita. Di
samping mendidik anak-anak kita agar sentiasa ingat kepada Allah, solat
menjadi benteng kepada mereka dari keruntuhan ahklak dan gejala social.
Ini melihat kepada kekuatan yang ada pada solat dalam mencegah manusia
dari melakukan dosa dan munkar sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah
sendiri;
“Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan munkar”. (al-Ankabut: 45)
Adalah
mustahil jika kita hendak mengekori anak-anak kita ke mana saja mereka
pergi untuk memastikan mereka berbuat baik di mana-mana sahaja mereka
berada. Namun jika kita berjaya mendidik anak kita dengan solat sehingga
solat itu melekat dalam jiwa mereka, yakinlah bahawa sekalipun tanpa
kehadiran kita, mereka akan tetap istiqamah dengan kebaikan kerana solat
akan membenteng mereka dari melakukan kejahatan dan maksiat.
Selain
dari solat, kita juga wajib mengasuh mereka menjaga ibadah-ibadah wajib
yang lain seperti puasa, zakat, haji dan sebagainya.
3. Bekalkan ilmu agama yang secukupnya kepada anak-anak kita?
Menuntut ilmu agama diwajibkan oleh Allah ke atas setiap orang Islam sama ada lelaki atau perempuan. Sabda Rasulullah s.a.w:
“Menuntut
ilmu (agama) adalah fardhu ke atas setiap orang Islam”. (Riwayat Imam
al-Baihaqi dan at-Thabrani dari Anas r.a. dan al-Hasan bin Ali r.a.)
Bagi
anak-anak, tanggungjawab mengajar ilmu agama kepada mereka asalnya
adalah kewajipan ibu-bapa. Namun jika ibu-bapa tidak mampu mengajar
sendiri anak-anak mereka, mereka wajib mencari seorang guru/ustaz yang
dapat mengajar anak-anak mereka segala hal yang wajib diketahui tentang
agama merangkumi;
a) Ilmu aqidah
b) Ilmu Ibadah
c) Ilmu halal dan haram (dalam makanan, percakapan, tindakan, pergaulan dan sebagainya)
d) Ilmu tentang hati dan rohani
e) Ilmu tentang kewajipan sebagai seorang muslim
f) Ilmu untuk membaca al-Quran
g) Ilmu tentang adab-adab sebagai seorang muslim
Kita
melihat hari ini ramai ibu-bapa mengabaikan pengajian ilmu agama kepada
anak-anak mereka. Mereka lebih menekankan ilmu-ilmu duniawi seperti
sains, matematik dan sebagainya. Mereka sanggup menghabiskan wang yang
banyak bagi memastikan anak-anak mereka lulus dengan cemerlang dalam
ilmu-ilmu tersebut. Namun ilmu agama mereka abaikan. Mereka tidak pernah
risau anak-anak
mereka jahil tentang agama asalkan pandai ilmu-ilmu lainnya. Kerana itu
tidak hairanlah jika kita dapati hari ini ramai anak-anak orang Islam
yang semakin liar dari agama; meninggalkan solat, tidak tahu membaca
al-Quran, tidak menutup aurat dan mudah terjebak dengan maksiat dan
munkar. Semua gejala ini puncanya tidak lain dari pengabaian terhadap
didikan agama oleh ibu-bapa.a) Ilmu aqidah
b) Ilmu Ibadah
c) Ilmu halal dan haram (dalam makanan, percakapan, tindakan, pergaulan dan sebagainya)
d) Ilmu tentang hati dan rohani
e) Ilmu tentang kewajipan sebagai seorang muslim
f) Ilmu untuk membaca al-Quran
g) Ilmu tentang adab-adab sebagai seorang muslim
4. Hidupkan dalam rumah kita Biah Islamiyyah (suasana keislaman)
Anak-anak
memerlukan qudwah (yakni contoh/tauladan) untuk menjadi anak-anak yang
soleh. Qudwah ini seharusnya bermula dari ibu-bapa dan juga suasana di
rumah. Biah atau suasana di rumah mempunyai peranan yang besar dalam
membentuk anak-anak. Oleh demikian, suasana keislaman di dalam rumah
hendaklah dihidupkan. Pada masa yang sama, elakkanlah sebarang bentuk
maksiat dan munkar dari rumah kita. Selain itu, menghidupkan sunah Nabi
di dalam rumah juga memberi kesan besar dalam mewujudkan biah/suasasa
keislaman di dalam rumah. Antara sunnah Nabi s.a.w. yang perlu kita
praktikkan di rumah ialah;
a) Membaca al-Quran di rumah
Seboleh-bolehnya,
ibu-bapa hendaklah menunjukkan minat mereka terhadap al-Quran dengan
selalu membacanya di rumah di hadapan anak-anak mereka. Dalam satu
hadis, Rasulullah mengibaratkan rumah yang tidak dibacakan al-Quran di
dalamnya umpama kubur-kubur. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa
Rasulullah s.a.w. bersabda;
“Jangan
kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kubur. Sesungguhnya syaitan
melarikan diri dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah”.
(Riwayat Imam Muslim)
Bagi
ibu-bapa yang tidak berkesempatan membaca al-Quran di rumah atau tidak
berkemampuan membacanya, maka sebagai alternatif lain untuk menghidupkan
suasana al-Quran di rumah ialah dengan memutarkan kaset-kaset atau
cd-cd al-Quran di dalam rumah pada setiap hari terutamanya di waktu pagi
dan pada masa anak-anak berhimpun di rumah.
b) Mengerjakan solat-solat sunat di rumah
Sabda Rasulullah s.a.w.;
“Kerjakanlah
solat –wahai manusia- di rumah-rumah kamu. Sesungguhnya solat yang
paling afdhal ialah seseorang mengerjakan solat di rumahnya kecuali
solat yang fardhu”. (Riwayat Bukhari dan Muslim dari Zaid bin Thabit
r.a.)
Dalam
hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda; “Kerjakanlah sebahagian
solat kamu dirumah kamu. Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu ibarat
kubur”. (Riwayat Imam Muslim dari Jabir r.a.)
Antara
solat sunat yang digalakkan untuk dikerjakan di rumah ialah solat
dhuha, solat tahajjud, solat hajat, solat taubat, solat tasbih, solat
witir, solat sunat yang mengiringi solat fardhu dan sebagainya. Ibu-bapa
yang selalu mengerjakan solat-solat sunat di rumah akan memberi qudwah
kepada anak-anak dalam menanamkan sikap suka beribadah dan meningkatkan kesedaran rohani mereka.
Lebih
baik lagi jika anak-anak turut diajak bersama-sama mengerjakan
ibadah-ibadah tersebut. Adalah harus –sebagai latihan- pada
selang-selang waktu tertentu solat-solat sunat tersebut (khususnya solat
malam atau qiyamullail) dilakukan secara berjamaah bersama ahli
keluarga dengan diimankan sendiri oleh bapa sebagai ketua keluarga.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Jika
seorang lelaki mengejutkan ahli keluarganya pada waktu malam, lalu
mereka mengerjakan solat dua rakaat bersama-sama, nescaya mereka berdua
akan ditulis/disenaraikan di kalangan lelaki-lelaki yang banyak berzikir
dan perempuan-perempuan yang banyak berzikir”. (Riwayat Imam Abu Daud
dari Abi Said r.a.)
Dalam
hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Allah mengasihi seorang
lelaki yang bangun menunaikan solat malam, kemudian ia mengejutkan
isterinya…Begitu juga, Allah mengasihi seorang perempuan yang bangun
menunaikan solat malam, kemudian ia mengejutkan suaminya…”. (Riwayat Abu
Daud dari Abu Hurairah r.a.)
c) Hidupkan budaya memberi salam
Anas r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya;
“Wahai
anakku! Jika kamu masuk menemui ahli keluargamu (di rumah kamu) maka
berilah salam kepada mereka, nescaya akan dilimpahi keberkatan ke atas
kamu serta ahli rumah kamu”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Anas r.a.)
Memberi
salam bermakna kita mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kepada
orang yang kita ucapkan salam kepadanya. Apabila ibu-bapa mengucapkan
salam kepada anak-anak mereka (tatkala baru sampai di rumah atau tatkala
ingin keluar dari rumah atau ingin berpisah dengan mereka) maka ia
telah mendoakan keselamatan dan kesejahteraan untuk mereka. Apabila
mereka menjawabnya, maka mereka mendoakan pula keselamatan dan
kesejahteraan untuk bapa atau ibu mereka. Fenomena saling doa-mendoakan
ini pastinya akan mewujudkan suasana harmoni dan kasih-sayang di dalam
keluarga.
Rasulullah
s.a.w. pernah bertanya para sahabat baginda; “Mahukah aku tunjukkan
kepada kamu suatu amalan yang jika kamu lakukan nescaya kamu akan saling
berkasih-sayang?”. Jawab mereka; “Ya”. Lalu baginda bersabda;
“Hidupkan budaya memberi salam antara sesama kamu”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
d) Praktikkan adab-adab Islam di dalam rumah.
Antara
adab-adab Islam yang perlu dipraktikkan oleh ibu-bapa serta ahli
keluarga di rumah ialah adab ketika makan, adab ketika masuk dan keluar
tandas, adab berpakaian, adab anak-anak ketika hendak masuk ke bilik
ibu-bapa (terutamanya apabila anak-anak telah mumayyiz), adab keluar dan
masuk rumah, adab tidur dan bangun dari tidur dan sebagainya. Adab-adab
ini amat penting kerana ia melibatkan amalan dan rutin harian yang
boleh memberi contoh berkesan kepada anak-anak dalam meningkatkan roh keislaman mereka.
5. Dekatkan anak-anak kita dengan masjid, mushalla atau surau
Dalam hal ini, terdapat hadis Rasulullah s.a.w. menyebutkan;
“Jika
kamu lihat seorang lelaki selalu berulang-alik ke masjid, maka
saksikanlah untuknya dengan iman (yakni akuilah bahawa ia sememangnya
seorang yang benar beriman)”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi dan Ibnu
Majah dari Abi Sa’id r.a.)
Masjid
adalah rumah Allah. Orang yang hatinya terikat dengan masjid
menunjukkan bahawa jiwanya dekat dengan Allah. Alangkah bertuahnya kita
jika anak-anak kita memiliki hati dan jiwa sedemikian. Oleh itu,
perlulah kita berusaha bersungguh-sungguh mendekatkan anak-anak kita
dengan masjid, atau sekurang-kurangnya surau atau mushalla. Dalam satu
hadis, Rasulullah s.a.w. menceritakan tujuh orang yang akan mendapat
perlindungan Allah di akhirat, antara mereka ialah ‘seorang pemuda yang
membesar dalam ibadah kepada Allah dan seorang lelaki yang hatinya
terikat dengan masjid’. (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abu
hurairah r.a.)
6. Tanamkan semangat jihad dan perjuangan Islam ke dalam jiwa anak-anak kita
Semangat
jihad yang kita maksudkan ialah semangat cintakan agama dan kesedaran
untuk berkorban demi agama. Ramai di kalangan kita menganggap anak-anak
belum tiba masanya untuk didedahkan dengan semangat jihad kerana mereka
masih kecil. Anggapan ini ternyata salah. Sebenarnya dari kecillah kita
perlu tanamkan semangat jihad ke dalam diri anak-anak kita supaya mereka
akan terbiasa dengan semangat ini sejak awal mereka mengenali dunia dan
kehidupan lagi. Lebih-lebih lagi apa yang disemai ketika kecil akan
melekat kukuh dalam jiwa manusia sebagaimana kata hikmah;
‘Pengajaran semasa kecil umpama memahat di atas batu”.
Untuk
menyemai semangat jihad dan perjuangan Islam ini, antara usaha yang
perlu kita lakukan ialah dengan menceritakan kepada anak-anak kita –dari
masa ke semasa- sejarah/sirah perjuangan Nabi kita Muhammad s.a.w. dan
juga tokoh-tokoh pejuang Islam terdahulu terdiri dari para Nabi dan
Rasul, para sahabat, para alim-ulama’, para Syuhada’ dan sebagainya.
Amat
menyedihkan kita apabila melihat anak-anak umat Islam hari ini di mana
mereka lebih mengenali artis-artis dan pelakon-pelakon dari mengenali
para Nabi dan Rasul, tokoh-tokoh Islam, ulama’-ulama’ dan para pejuang
Islam. Keadaan ini memerlukan usaha bersungguh-sungguh dari kita sebagai
ibu-bapa untuk mengubahnya.
7. Tanamkan kepada anak-anak kita sikap cintakan ilmu dan majlis ilmu
Antara
perkara yang perlu kita tanamkan sungguh-sungguh ke dalam jiwa
anak-anak kita dalam usaha kita mendidik mereka menjadi anak-anak yang
soleh ialah sikap cintakan ilmu dan sukakan majlis-majlis ilmu. Dengan
adanya semangat cintakan ilmu dan majlis ilmu akan timbullah keinginan
dalam diri anak-anak kita untuk menuntut ilmu agama secara berterusan
hingga ke akhir hayat mereka tanpa had umur atau batasan waktu.
Jika
kita perhatikan majlis-majlis ilmu hari ini, boleh dikatakan
keseluruhan yang hadir ialah golongan dewasa dan juga orang-orang tua.
Di mana anak-anak atau kanak-kanak? Kenapa mereka tidak dibawa bersama
oleh ibu-bapa mereka untuk sama-sama menuntut ilmu? Demi masa depan
anak-anak kita, marilah kita ubah keadaan ini. Marilah kita bawa bersama
anak-anak untuk sama-sama berada di dalam majlis ilmu yang diibaratkan
oleh Rasulullah s.a.w. sebagai taman syurga. Baginda bersabda;
“Apabila
kamu berjalan melalui taman syurga, maka singgahlah di situ”. Lalu
sahabat bertanya; “Apa itu taman syurga, ya Rasulullah?”. Jawab
Rasulullah; “Iaitulah majlis-majlis ilmu””. (Riwayat Imam at-Thabrani
dari Ibnu ‘Abbas r.a.)
8. Perhatikan dengan siapa anak-anak kita berkawan.
Kita
tidak boleh mengongkong anak-anak kita dari berkawan. Namun apa yang
kita perlu lakukan ialah memastikan anak-anak kita memilih kawan-kawan
atau teman-teman yang baik supaya ia tidak terjebak ke dalam kejahatan
dan maksiat kerana pengaruh kawan. Hal ini merupakan pesanan Rasulullah
s.a.w. di mana baginda bersabda;
“Seseorang
itu berada di atas agama temannya. Oleh itu, hendaklah setiap dari kamu
memerhatikan dengan siapa ia berteman”. (Riwayat Imam Abu Daud dari Abu
Hurairah r.a.)
Di
dalam hadis di atas, Rasulullah s.a.w. berpesan kepada kita agar pandai
memilih kawan/teman kerana kawan boleh mempengaruhi pengamalan agama
kita. Maka sebagai ibu atau bapa, pesanan yang sama perlu kita sampaikan
kepada anak-anak kita kerana mereka adalah tanggungjawab kita.
9. Mohonlah sentiasa dari Allah agar dikurniakan anak yang soleh
Doa
adalah senjata kita orang-orang beriman. Dengan doa kita boleh memohon
apa sahaja hajat kita dari Allah. Malah Allah amat suka hamba-hambanya
yang banyak berdoa dan bermohon dariNya. Salah satu perkara yang perlu
selalu kita pohonkan dari Allah ialah anak-anak yang soleh.
Seboleh-bolehnya setiap kali kita berdoa, kita tidak lupa berdoa agar
kita sekelian dianugerahkan Allah anak-anak yang soleh. Antara bentuk
doa memohon anak soleh ialah yang termaktub di dalam al-Quran iaitu;
“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang tergolong dari orang-orang soleh”. (as-Shaffat: 100)
Atau doa;
“Wahai
Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami dari isteri-isteri dan zuriat
keturunan kami (anak-anak soleh yang menjadi) penyejuk mata-mata kami
(apabila melihatnya) dan jadikanlah kami ikutan kepada orang-orang
bertakwa”. (al-Furqan: 74)
Selain itu, kita juga perlu berdoa agar Allah memberi ilmu dan kefahaman agama kepada anak-anak kita. Antara doanya ialah;
“Ya Allah, wahai Tuhan kami! Berilah kefahaman kepadanya dalam agama dan ajarkanlah kepadanya memahami al-Quran”.
Doa
ini adalah doa yang pernah diucapkan oleh Rasulullah s.a.w. untuk Ibnu
‘Abbas r.a.. Berkat doa baginda ini, Ibnu ‘Abbas telah muncul di
kalangan sahabat sebagai seorang pentafsir al-Quran yang paling unggul
sehingga Abdullah ibnu Mas’ud menyatakan; “Sebaik-baik pentafsir
al-Quran ialah Ibnu ‘Abbas”.
10. Sentiasalah memberi pesanan dan nasihat kepada anak-anak kita
Ibu-bapa
hendaklah selalu memberi pesanan dan nasihat kepada anak-anak supaya
sentiasa mentaati Allah dan menjaga perintah agama. Pesanan, teguran dan
kata-kata nasihat dari ibu-bapa merupakan mutiara-mutiara berharga
untuk anak-anak kerana ibu-bapa adalah orang yang paling hampir dengan
anak-anak. Peranan ibu-bapa sebagai pemberi nasihat dan pesanan tidak
terhenti setakat anak-anak masih kecil, tetapi berterusan hingga
bila-bila sekalipun mereka telah dewasa. Di bawah ini kita kemukakan
beberapa nasihat dan pesanan dari para nabi dan orang-orang soleh untuk
anak-anak mereka sebagaimana yang terdapat di dalam al-Quran dan juga
hadis Nabi s.a.w. untuk kita mencontohinya;
Pesanan Nabi Ibrahim kepada anak-anaknya
Pesanan Nabi Ibrahim untuk anak-anaknya dapat kita dilihat dalam surah al-Baqarah, ayat 132;
“Ibrahim
telah berpesan kepada anak-anaknya dengan agama itu (yakni Islam) dan
(begitu juga) Yaakob (di mana mereka berkata kepada anak-anak mereka):
‘Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) untuk
kamu, maka janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan muslim”. (al-Baqarah: 132)
Pesanan Nabi Yaakob untuk anak-anaknya
Allah
menceritakan dalam surah al-Baqarah (ayat 133) bahawa Nabi Yaakob
ketika hampir kematiannya ia telah berpesan kepada anak-anaknya supaya
kekal menyembah Allah, tidak mengsyirikkannya.
“Adakah
kamu menyaksikan ketika Yaakob hampir menemui kematian, ketika itu ia
berkata kepada anak-anaknya; ‘Apakah yang kamu akan sembah selepas
kematianku?’. Jawab mereka; ‘Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan
bapamu Ibrahim, Ismail dan Ishak iaitu Tuhan yang maha esa dan
kepadaNyalah sahaja kami berserah diri”. (al-Baqarah: 133)
Pesanan Luqman al-Hakim
Pesanan
Luqman kepada anaknya dibentangkan dengan panjang lebar oleh Allah di
dalam surah Luqman. Pesanan Luqman ini amat baik jika kita jadikan
pesanan yang diulang-ulang dari masa ke semasa untuk anak-anak kita.
Antara yang dipesankan oleh Luqman kepada anaknya ialah;
“Dan
(ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya semasa ia memberi
nasihat kepada anaknya itu; ‘Wahai anak kesayanganku! Janganlah kamu
mensyirikkan Allah (dengan sesuatu yang lain). Sesungguhnya perbuatan
syirik itu merupakan satu kezaliman yang besar”. (Luqman: 13)
“Wahai
anak kesayanganku! Dirikanlah solat dan suruhlah berbuat kebaikan serta
laranglah dari kemungkaran, dan bersabarlah atas segala bencana yang
menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara
yang perlu diambil berat melakukannya”. (Luqman: 17).
Apa
yang kita kemukakan ini hanyalah sebahagian kecil pesanan Luqman untuk
anaknya. Untuk melihat pesanannya secara keseluruhan, sila rujuk surah
Luqman (ayat 13 dan ayat-ayat seterusnya).
Pesanan Rasulullah kepada Ibnu ‘Abbas
Diriwayatkan
dari Ibnu ‘Abbas r.a. yang menceritakan; (Suatu hari) aku berada di
belakang Nabi s.a.w.. Lalu baginda bersabda kepadaku; “Hai anak! Aku
ingin mengajar kamu beberapa perkataan (iaitu); ‘Peliharalah Allah
nescaya Ia akan pelihara kamu. Peliharalah Allah, nescaya kamu akan
mendapatinya di hadapan kamu. Apabila kamu meminta, mintalah kepada
Allah dan apabila kamu memohon pertolongan, pohonlah pertolongan dari
Allah. Ketahuilah bahawa sesungguhnya jika sekelian umat manusia
berhimpun untuk memberi manfaat kepada kamu dengan sesuatu, tidaklah
mereka dapat memberi manfaat kepada kamu melainkan dengan suatu yang
telah ditulis oleh Allah untuk kamu. Dan jika mereka semua berhimpun
untuk memberi mudarat kepada kamu dengan sesuatu, tidaklah mereka dapat
memudaratkan kamu melainkan dengan sesuatu yang telah ditulis oleh Allah
akan menimpa kamu. Telah diangkat pena dan telah kering lembaran-lembaran’”. (Riwayat Imam Tirmizi)
Wallahu a’lam.
Artikel : www.ilmudanulamak.net
Copy dari : http://www.mamat.my/2012/03/langkah-langkah-mendidik-anak-menjadi.html
Untuk Peringatan mama dalam mendidik Rizqin .
0 comments:
Post a Comment
Terima Kasih komen kat sini...datang lagi...