Rizqin Cirit2

Monday, February 20, 2012

Rizqin mengalami cirit birit last Friday lepas balik dari Nursery.
Sabtu tu dia poo poo 4 kali, Ahad 3 kali, Isnin 3 kali, hari ni selasa tak sure lagi berapa kali kena tanya dgn cikgu dia dekat nursery. harap2 dah berkuranganlah.

Ada yang syor kan mama beli Isomil & bebelac khas utkk cirit birit. Ada yang suruh bagi air kanji, glucos,bagi air masak banyak2,cairkan susu dia cthnya kalau 5oz kena buatkan 2oz susu + 3oz air. Mama akan cuba fikirkan yag terbaik utk Rizqin. Mama berdoa agar rizqin sihat hari ni.

Mama tanyalah pakcik google & jumpa link dari Dr Roslin. Mama share dekat sini.

Sumber : http://drroslin.blogspot.com/2011/05/acute-gastroenteritis-cirit-birit.html

Masalah cirit-birit serta muntah-muntah adalah antara masalah yang kerap dijumpai di klinik, terutamanya bayi yang berusia kurang dari 1 tahun. Sekiranya berlaku cirit-birit atau muntah-muntah, ini mungkin bermakna sistem pertahanan badan kita sedang diaktifkan kerana telah termasuk bahan asing ke dalam sistem penghadaman kita, sama ada jangkitan bakteria ataupun virus, makanan tercemar ataupun bahan-bahan lain yang didapati tidak bersesuaian dengan badan kita. Disini saya akan terangkan rawatan permulaan bagi cirit-birit ataupun muntah-muntah ataupun kedua-duanya sekali sebagaimana yang saya sering sarankan di klinik. Terdapat pelbagai jenis diet yang disarankan untuk acute gastroenteritis, diet yang disarankan dibawah adalah berdasarkan pengalaman saya terutamanya dalam merawat anak lelaki saya sendiri yang sangat mudah mengalami cirit-birit sewaktu dia berusia kurang dari 2 tahun.

Sekiranya berlaku cirit-birit ataupun muntah-muntah, ataupun kedua-duanya sekali, mula-mula saya syorkan memberhentikan susu formula. Susu formula yang berasaskan susu lembu adalah sangat sukar dihadam terutamanya oleh usus yang sedang mengalami keradangan. SUSU IBU ADALAH YANG TERBAIK. Hentikan susu formula dan berikan susu badan sahaja, bagi sesetengah kes, ini adalah memadai untuk memberhentikan cirit-birit ataupun muntah-muntah. Akan tetapi, kadangkala keradangan usus agak serius sehingga menyebabkan susu badan juga sukar untuk dihadam. Sekiranya ketiadaan susu badan atau masalah berterusan dengan penyusuan badan, kita perlu memberhentikan susu sepenuhnya dan menggantikan dengan ORS(oral rehydration salt). ORS perlu dibancuh mengikut sukatan yang tepat sebagaimana yang telah dicatatkan dibelakang setiap peket ORS.

PERINGATAN: SEKIRANYA SIMPTOM CIRIT-BIRIT DAN/ATAU MUNTAH-MUNTAH TIDAK BERKURANGAN DENGAN LANGKAH I(ORS SAHAJA), PERLU RUJUK KE HOSPITAL DENGAN KADAR SEGERA!

LANGKAH I: Kelazimannya saya akan sarankan, berhenti susu formula dan susu badan, berhenti juga memberi makanan seperti bubur, bijirin bayi, biskut bayi, buah-buahan, sayur-sayuran dan lain-lain lagi dan HANYA MEMBERI LARUTAN ORS SAHAJA selama 4-5 jam ataupun sehingga cirit-birit ataupun muntah-muntah berhenti. Jangan risau melihat bayi meminum ORS yang kelihatan agak cair, ORS mengandungi gula, garam serta zat galian yang diperlukan oleh badan. Kepekatannya sangat menghampiri kepekatan darah menyebabkan ia paling mudah diserap dari dalam usus berbanding bahan-bahan lain seperti susu. Usus sedang mengalami keradangan dan proses penghadaman serta penyerapannya terganggu, kita perlu merehatkannya buat seketika. Kelazimannya 4-5 jam sudah memadai. Seringkali saya mendapati ibubapa terlampau cepat memberi semula susu formula dan seterusnya ini akan mengakibatkan cirit-birit & muntah-muntah bermula kembali. Ingat saranan saya, kita perlu memberi sedikit masa untuk usus kembali pulih sebelum memulakan semula pemberian susu ataupun makanan yang lain. Sekiranya bayi kelihatan sedikit lapar, boleh juga diberi minum air rebusan barli didalam botol. Rebuskan barli bersama dengan air dan sedikit gula, dan ambil air rebusannya sahaja. Bijiran barli itu tidak diberikan bersama kerana ia agak sukar dihadam buat masa ini.

LANGKAH II: Sekiranya masalah cirit-birit ataupun muntah-muntah berkurangan dengan pemberian ORS sahaja dan bayi kelihatan semakin pulih, kita boleh mencuba beri makan bubur nasi sahaja. Bubur nasi boleh dicampurkan dengan sedikit garam. Tetapi saya tidak mengesyorkan mencampurkannya dengan sayur-sayur seperti bayam, lobak merah ataupun kicap buat sementara waktu. Hanya setelah kita mendapati bayi semakin pulih dengan ORS dan bubur nasi, barulah saya menyarankan kita mulakan langkah yang seterusnya.LANGKAH III: Susu, sayur-sayuran, buah-buahan serta makanan lain seperti bijirin bayi. Mulakan pemberian susu dahulu dan lihat kesannya. Sekiranya masalah telah selesai dan simptom tidak berulang, bolehlah mulakan kembali makanan-makanan yang lain tetapi pada kadar yang perlahan kerana usus baru sahaja pulih. Akan tetapi sekiranya cirit-birit berterusan setiap kali diberi susu formula, saya sarankan kita meneruskan ORS dan air barli buat beberapa jam lagi. Sekiranya masalah berterusan juga setiap kali memulakan susu formula, ada kemungkinan kita perlu menukarkan susu formula buat seketika sehingga penghadamannya betul-betul pulih. Antara susu yang saya sarankan dalam situasi sebegini adalah Bebelac FL, Enfalac LF ataupun Mamex LF. Susu ini bolehlah digunakan buat sementara waktu dan ditukar kembali ke formula asal setelah bayi kelihatan pulih.

[Perlu diingatkan beberapa perkara, proses pembersihan dan pensterilan botol susu perlulah dibuat setiap hari. Sekiranya bayi dihantar ke tempat asuhan, pastikan anda membekalkan botol susu yang telah disterilkan setiap hari dan membawa pulang botol susu setiap hari utk disterilkan di rumah. Terdapat banyak kes cirit-birit yang disebabkan oleh pembersihan botol susu yang kurang sempurna terutama sekali semasa di tempat asuhan. Pastikan juga tempat penjagaan bayi adalah kemas dan sangat bersih, bayi yang baru belajar merangkak ataupun berjalan seringkali suka menghulurkan jari ke tempat-tempat yang sempit seperti di celah-celah perabot. Pada usia sebegini, apa jua yang dijumpai akan dimasukkan ke dalam mulut termasuklah habuk-habuk serta kekotoran yang lain.

0 comments:

Post a Comment

Terima Kasih komen kat sini...datang lagi...